Tidak Kembali



Bismillahirrahmanirrahim...

Tahu atau tidak, percaya atau tidak, kita berada di dalam ruang lingkup masa yang cukup terbatas. Ini semua orang tahu dan semua orang setuju (tak semua sebenarnya, tapi tak mengapa, bukan fokus kita).

Dalam kesinambungan continuum masa dan ruang, seharusnya masa itu secara azalinya adalah sehala, point of no return. Perjalanan merentas masa sebenarnya adalah logik secara teori tetapi tidak pada praktikalnya. Bagaimana pula apabila dunia kita ini sebenarnya adalah dalam dimensi masa yang berbeza?

Bagaimana jika kita sebenarnya berada pada salah satu daripada variasi satah masa yang berlainan? Dengan itu adakah kita boleh merentas masa? Adakah kita boleh kembali ke masa lepas dan interaksi langsung dan tidak langsung kita sebenarnya boleh mengubah masa depan? Lohong hitam menghasilkan pusat graviti yang sangat kuat sehinggakan dimensi masa ini berantakan seterusnya membawa kita ke dimensi yang lain? Hanya jika kita dapat bertahan dan molekul kita tidak terpisah dek tarikan graviti yang sangat kuat?

Adakah kita boleh merentas masa? Masa ini pun relatif dengan putaran bumi, maka bagaimana kita boleh kembali ke masa lepas? Perlu kita ingat satu perkara, Allah Maha Besar telah mencipta alam ini dengan sempurna, penuh aturan yang melengkapi satu dengan yang lain. Maka, perlukah kita berazam dan berusaha untuk mengubah apa yang telah kita lakukan?

Bolehkah dengan time travel kita memadam segala perlakuan kita dalam kitab amal yang dipegang Raqib dan 'Atid? Selayaknya bukan saya yang harus berbicara mengenai hal ini kerana semuanya atas urusan Yang Maha Pencipta.

Tidak boleh, saya kembali ke zaman persekolahan saya di Sekolah Menengah Sains Tuanku Ja'afar semata-mata kerana ingin membatalkan hasrat saya meneruskan pengajian menengah atas di situ. Ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Rezeki kita manusia biasa, hamba yang hina dina yang tidak selayaknya menghidu wangian syurga Allah telah ditetapkan, dan harus kita redha.

Dan saya bersyukur, kerana diberikan Allah peluang untuk bernafas dan melalui jalan yang telah dibentangkan di depan mata. Yang rutin tapi mencabar. Jadi, haruskah saya mencabar kesinambungan jalur masa dan kembali ke masa lepas?

Menyelusuri sungai yang jernih, nampak ikan-ikan didalamnya, berenang-renang mengikut arus. Tetapi fokus mata kita menipu. Cahaya terbias padanya dan dekod oleh otak kita adalah palsu. Cuba digapai ikan-ikan itu yang kelihatan sangat jinak dan dekat, walhal jarak yang ditafsirkan otak kita adalah palsu. Melainkan masyarakat peribumi di situ, yang berhari-hari melalui rutin mengasah ketajaman tafsiran minda mereka sehinggakan retina mereka cukup berkesan dalam dekod jarak ikan-ikan di dalam sungai tersebut.

Mesejnya di sini adalah praktis itu sebenarnya adalah penting. Praktis itu lebih kuat daripada teori. Fokus retina manusia biasa dilambangkan sebagai teori. Itu yang kita pelajari hari-hari dalam kelas sains. Kita tahu, biasan cahaya itu adalah disebabkan oleh medium yang dilaluinya mempunyai ketumpatan berlainan, udara dan air. Maka, itu yang kita terima dan itu yang menyekat motivasi kita. Maka, kita pasrah dan berserah, mata kita memang begitu kejadiannya dan haruslah mustahil bagi kita menangkap ikan-ikan tersebut.

Fokus retina masyarakat peribumi di situ pula dilambangkan sebagai amali yang kuasanya mengatasi teori. Daripada pengalaman dan pengamatan terhadap alam, mereka mengatasi hukum fizik dan keupayaan diri manusia yang sering tercatat di dalam buku-buku teks yang sebenarnya melemahkan kita. Daya fikir kita mempengaruhi kekuatan fizikal kita. Itulah praktis ataupun amali yang berjaya menyangkal sesetengah teori sehingga wujud pengecualian di dalam penerimaan teori tersebut.

Tetapi apabila kita merendahkan ego kita dan cuba mengalami praktisnya, maka kita akan dapat mengimbangi antara teori dan amali yang membuatkan kita, mahasiswa sebagai pengimbal (buffer) kepada masyarakat (seharusnya begitu, tapi lain zaman, lain ajaran, lain pengalaman, lain tindakan).

Maka oleh itu, untuk kita merentas masa, teorinya cukup cantik dan praktisnya cukup menarik jika dapat direalisasikan. Tetapi untuk menghasilkan gravitational force yang sebegitu rupa, saya yakin kosnya akan menyebabkan berpuluh bayi mati dalam sehari.

Harus kita pasrah? Harus kita redha dan berserah? Tawakkal sajalah?

Kamu dan kotak fikiran kamu, terpulang kepada kamu untuk memecahkannya demi
kesejahteraan manusia.

Blogger Template by Blogcrowds